Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut,
dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan
air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan
waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah
S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin
nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk
ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan
"Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke
Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah
S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di
tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah
telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua
rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan
melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu
daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin
'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang
amat ajaib. Antaranya :
§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman
mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum
lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh
Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan
pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih
banyak.
§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh
Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama
suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan
iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah
(tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka.
Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula.
Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah
orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul
dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan.
Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah
orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah
yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah
lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu
masing-masing mempunyai isteri / suami.
§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan
batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya
memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak
dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka
dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir
mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah
dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga
mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan
menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang
sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang
yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai
perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika
Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan
dunia daripada akhirat.
§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh
Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail:
Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk
bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua
dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke
dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan
mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi
arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda
membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda
akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari
syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu
terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
i. Langit Pertama:
Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan
Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta
anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh
dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
ii. Langit Kedua: Nabi
S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan
Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
iii. Langit Ketiga: Naik
langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit
keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit
kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani
Israil.
vi. Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi
Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat
melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk
syurga tanpa hisab.
vii. Langit Ketujuh: Naik
tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim
Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa
kaumnya.
Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda,
"Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir
umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam
tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut
riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada
umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan
tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA
LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA
ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini
akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa
peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur
dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
viii. Tangga Kelapan: Di
sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok
itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu
lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar
menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua
keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan
pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke
syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
ix. Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk
di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang
lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya
sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki
ibu bapanya.
x. Tangga Kesepuluh:
Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu
dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian
berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau
berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau
berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan
kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan
memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan
'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang
sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada
syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai
berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu.
Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan
kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang
tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir
surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan
habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi
munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang
lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh
(waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi
Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah
S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah
waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan
lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj
Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya
turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada
malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa
yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat
ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27
Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)
Kesimpulannya, Peristiwa
Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan
kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita
menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara
yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang
memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi
keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada
kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan
Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu
mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk
dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak
dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi
sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu
merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah
Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti
kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Mafhum Firman Allah S.W.T. :
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari
Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya
agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."(Surah
Al-Israa': Ayat 1).